Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022. Vaksin mRNA iaitu Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan. Hasil dapatan kajian klinikal vaksin ini menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7% serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19.
Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan (8) minggu selepas dos pertama. Berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa lapan (8) minggu di antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama.